Subsidi minyak masak kurangkan impak negatif turun naik harga minyak sawit - Khairuddin
Bernama
Januari 20, 2021 15:17 MYT
Januari 20, 2021 15:17 MYT
KUALA LUMPUR: Strategi subsidi minyak masak yang dilaksanakan kerajaan telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, peningkatan harga minyak masak dalam pasaran tempatan masih pada kadar rendah walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat ketara pada Julai 2019 hingga Januari 2021.
"Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) pada harga RM2.50 terutama bagi golongan B40," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kementerian itu amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak dalam pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga MSM.
"Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan bahawa sekitar satu juta tan minyak sawit adalah untuk pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik satu kg.
"Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol satu kg hingga lima kg dan tin 17 kg," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh 2019 hingga 2020, harga purata MSM dalam pasaran tempatan telah mencecah paras terendah iaitu pada Julai 2019 dengan RM1,879.00 satu tan dan meningkat kepada paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020.
Mohd Khairuddin berkata harga MSM meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada 2019.
"Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia dan pelbagai faktor lain.
"Peningkatan harga ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini," katanya.
Beliau berharap harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi pada tahun ini supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangan kepada kerajaan.
Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2020.
-- BERNAMA
#subsidi minyak masak
#harga minyak sawit
#pengguna
#Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#Mohd Khairuddin Aman Razali
#minyak sawit mentah
#rakyat
#kerajaan