Subsidi makanan kepada golongan miskin tegar adalah lebih baik - Pakar
Israr Khalid
Mei 20, 2022 07:45 MYT
Mei 20, 2022 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Dana untuk subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam, yang dipersetujui kabinet baru-baru ini, lebih baik disalurkan secara bersasar kepada golongan miskin tegar, kata Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin.
Ini kerana, katanya, golongan ini adalah yang paling terkesan susulan kenaikan harga produk makanan tersebut.
Menurut M Nasir, harga ayam bukan ditentukan oleh penternak, tetapi ia turun dan naik mengikut keadaan pasaran, bergantung kepada bekalan dan permintaan.
“Bagi saya, apabila kita bagi subsidi kepada penternak, bermakna kita secara tidak langsung memberi subsidi kepada semua golongan, sama ada T20, M40 dan juga B40.
“Tetapi, mereka yang dalam golongan T20 kemungkinan tidak terkesan dengan kenaikan harga ayam di pasaran,” katanya.
Februari lalu, kerajaan bersetuju memberi subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam berkuat kuasa 5 Feb hingga 4 Jun, dalam usaha mengurangkan beban golongan itu dan menstabilkan bekalan.
M Nasir berkata, ayam boleh dianggap sebagai antara makanan ruji rakyat Malaysia memandangkan penggunaan per kapita adalah pada kadar 47.4 kilogram setahun.
Katanya, Malaysia boleh menerapkan mekanisme yang diguna pakai di Amerika Syarikat, di mana golongan miskin diberi ‘food stamp’ sebagai insentif untuk memperoleh barangan makanan.
“Mereka yang miskin tegar akan dapat kupon dan ia hanya boleh digunakan untuk membeli makanan. Jadi, kita boleh ikut contoh itu, yang saya rasa, lebih berkesan dan lebih murah, untuk kita menjaga bekalan ayam kita.”
Pada masa sama, beliau turut melihat perlunya untuk Malaysia memperluaskan lagi penghasilan stok pengimbal barangan makanan asas bagi mengukuhkan sekuriti makanan di negara ini.
Ketika ini, negara hanya mempunyai stok pengimbal beras dan M Nasir berpendapat itu sahaja tidak mencukupi untuk bersedia berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
“Contohnya, kita juga perlukan ayam. Tak semestinya ayam bulat, tetapi mungkin dalam bentuk tin dan sebagainya, yang boleh kita keluarkan ke pasaran apabila keadaan meruncing.
“Kajian menunjukkan, kalau tiga hari rakyat tidak cukup makan, negara boleh jadi kacau-bilau. Jadi, saya rasa, pelaburan untuk membuat stok pengimbal, walaupun mahal dari segi penyimpanan dan sebagainya, tetapi pulangannya bukan sahaja dari segi wang ringgit tetapi keamanan negara,” tambahnya.
Tonton temu bual penuh bersama M Nasir dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini: