Subsidi, kawalan harga ayam tamat hari ini
Astro Awani
November 1, 2023 08:30 MYT
November 1, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Hari ini penamatan subsidi dan kawalan harga bagi ayam berkuatkuasa secara rasmi.
Penamatan subsidi ayam adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.
Sebelum ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sehingga Februari tahun ini.
Jelas beliau, rasional untuk penamatan subsidi secara pukal bagi ayam ini adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Penamatan subsidi ayam itu juga diputuskan selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling.
Dalam hal itu, beliau berkata, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.
Mohamad berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Ini bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.