Subsidi diesel: 'Sedih di hati bukan kepalang fikir kesan ke atas rakyat' - Muhyiddin
Pia Ernadya
Jun 10, 2024 19:15 MYT
Jun 10, 2024 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: "Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat."
Demikian kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluahkan rasa sedih memikirkan kesan yang terpaksa dibebani oleh rakyat susulan tindakan kerajaan yang menaikkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter.
Menurutnya, kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tindakan itu seolah-olah tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.
Kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 atau 56% berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.
"Peringatan saya di Parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan. Saya mendidik diri agar sentiasa prihatin dengan keluhan rakyat dan itu yang saya terjemahkan ketika memegang tanggungjawab dan harapan rakyat sebagai Perdana Menteri," ujar beliau.
Kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain, tambah Muhyiddin.
Beban ini jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini. Apakah ini berbaloi?," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata bahawa sistem ekonomi negara yang tidak efisien seperti pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang komprehensif oleh pucuk pimpinan kerajaan akan menyebabkan rakyat menghadapi kesulitan hidup yang teruk.
Muhyiddin juga menyatakan ketidakyakinan beliau terhadap Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) kerana menurutnya, syarat-syarat yang dikenakan atas penerima bantuan subsidi diesel menerusi skim Budi Madani itu ketat dan ia boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna seperti petani dan pekebun kecil tidak layak mendapat bantuan.
"Bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi. Akhirnya, kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.
"Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON95 tidak lama lagi.
Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah untuk menyelamatkan negara.
Katanya, beliau sedar langkah itu akan menjadi bahan kritikan ramai namun ia perlu dilaksanakan memandangkan kerajaan tiada pilihan lain.
"Kita terpaksa ambil beberapa tindakan yang tidak popular, tetapi untuk selamatkan negara.
"Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu, apa pun yang kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.
"Padahal, kita beritahu, penyasaran subsidi ini semua perdana menteri sebelum itu telah setuju, cuma tidak ada tekad politik melaksanakan, kerana risikonya ada.
"Tetapi, untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri.