Subsidi diesel: Projek SKDS 2.0 diperluas kepada kenderaan barangan bermula esok

Astro Awani
Mac 6, 2024 15:45 MYT
ARMIZAN: Syarikat yang terlibat dalam sektor tersebut boleh membuat permohonan bermula jam 9 pagi esok menerusi mysubsidi.kpdn.gov.my (mysubsidi diesel). -Gambar fail/Bernama
DENGKIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan bermula esok.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia melibatkan lori kargo am, lori minuman botol, lori ais, lori luton, lori tangki, lori tangki air, van panel, dan van 'window'.
Katanya, menerusi pelaksanaan projek rintis fasa kedua itu, syarikat yang terlibat dalam sektor tersebut boleh membuat permohonan bermula jam 9 pagi esok menerusi mysubsidi.kpdn.gov.my (mysubsidi diesel).
‘’Alhamdulillah, setelah dua bulan projek rintis yang melibatkan enam syarikat tersebut berjalan dengan baik, tidak ada isu-isu yang besar dan ia telah dilaksanakan sepenuhnya.
‘’Bermula esok sebenarnya, kita akan memperluas projek rintis SKDS 2.0 itu bagi fasa dua yang akan melibatkan sembilan jenis kenderaan dalam sektor pengangkutan darat barangan,’’ katanya.
Untuk itu, katanya lagi, syarikat yang terlibat dalam sektor terbabit dan memiliki kenderaan seperti disenaraikan dikehendaki membuat permohonan melalui mysubsidi diesel bermula Khamis hingga 31 Mac depan.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Fresh Market Sdn Bhd pada Rabu.
#Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi #kpdn #Armizan Ali #SKDS 2
;