Subsidi Diesel: MOF lulus 100,000 permohonan BUDI MADANI

Firdaus Azil
Jun 19, 2024 18:58 MYT
Sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI telah diluluskan, bagi pemilik kenderaan diesel individu (BUDI Individu) serta petani dan pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi).
PUTRAJAYA: Sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI telah diluluskan setakat Rabu, bagi pemilik kenderaan diesel individu (BUDI Individu) serta petani dan pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi).

Ringkasan AI
  • Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu.
  • Seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu.
Manakala seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat
daripada BUDI Agri-Komoditi.

SIARAN MEDIA MOF BERKENAAN 100,000 PERMOHONAN BANTUAN TUNAI BUDI MADANI DILULUSKAN pic.twitter.com/6DxoQ6CaEU

— Ministry of Finance (@MOFmalaysia) June 19, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan yang sama berkata, matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.
“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.
“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun. Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai BUDI MADANI bermula pada bulan permohonan dibuat,” katanya lagi.
Dalam pada itu MOF berkata, seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun, diikuti 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada hari ini (Rabu), 19 Jun 2024.
Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, Kementerian berkata, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai 2024.
“Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional.
Untuk rekod, Inisiatif BUDI MADANI yang dibuka sejak 28 Mei lepas adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori BUDI Individu; dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori BUDI Agri-Komoditi.
Bagi pemohon individu yang gagal, MOF berkata, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my.
Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu.
Selepas itu, mereka digalakkan mengemukakan permohonan BUDI MADANI (sekiranya belum memohon) atau mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI.
Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, orang ramaio boleh melayari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e mel di budimadani@treasury.gov.my.
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di seluruh Semenanjung Malaysia.
#Amir Hamzah Azizan #Kementerian Kewangan #subsidi diesel #BUDI MADANI
;