Subsidi bersasar kurangkan kerajaan berhutang - Rafizi
Sinar Harian
Jun 27, 2023 14:33 MYT
Jun 27, 2023 14:33 MYT
KOTA KINABALU: Subsidi bersasar yang dilaksanakan adalah sebagai langkah untuk mengurangkan keperluan kerajaan terus berhutang selain hasil daripada penjimatan itu boleh disalurkan untuk ke projek pembangunan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jumlah hutang negara ketika ini adalah sebanyak RM1.3 trilion iaitu secara kasarnya nisbah hutang negara kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerajaan sudah mencecah 70 peratus.
"Dalam keadaan hutang negara itu akan memberi kesan terus kepada rakyat dan kerajaan-kerajaan negeri iaitu pertamanya, ruang untuk berhutang semakin sempit dan kedua bayaran faedah tahunan juga tinggi.
"Buat masa sekarang ini, jumlahnya sudah mencecah hampir RM40 bilion dan itu menyebabkan ia mengambil sumber yang sepatutnya dibelanjakan untuk pembangunan," katanya ketika berucap pada sesi libat urus bersama kerajaan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, kerajaan perlu mengambil langkah secara terurus dalam tempoh setahun ke dua tahun ini menerusi tatakelola dan juga perolehan yang lebih baik supaya ia dapat disalurkan semula kepada projek pembangunan negara.
"Sebab kenapa kita ambil pendirian bahawa pendekatan B40, M40 dan T20 perlu berubah kepada pendekatan yang lebih tepat untuk mengukur kadar mampu belanja sesebuah isi rumah, supaya kita dapat memastikan subsidi itu diberikan secara bersasar kerana perbelanjaan subsidi kita adalah sebanyak RM86 bilion setiap tahun.
"Kita sudah lakukan dengan subsidi elektrik dengan dasar sedia da yang telah dilaksanakan pun, kerajaan dijangka akan dapat menjimatkan antara RM6 hingga RM8 bilion setiap tahun untuk subsidi elektrik.
"Fokus seterusnya ialah subsidi diesel dan seterusnya ialah subsidi RON95 dan melalui program-program sasaran ini.
"Insya-Allah kita boleh jimat sejumlah wang yang pertama akan mengurangkan keperluan kita untuk terus berhutang untuk projek pembangunan, keduanya penjimatan boleh disalurkan terus ke projek-projek lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menjangkakan pemulihan ekonomi negeri yang lebih baik dengan unjuran yang positif pada kadar empat hingga lima peratus bagi tahun 2022 dan 2023.
Katanya, unjuran ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi dalam semua aspek bagi melonjakkan semula ekonomi negeri Sabah.
"Ini termasuklah usaha merancakkan pelaksanaan program-program pembangunan khususnya projek berimpak tinggi dan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Sabah.
"Meskipun berada dalam keadaan ekonomi global dan nasional yang tidak menentu, ekonomi negeri Sabah pada masa ini berada pada landasan yang tepat kearah pemulihan apabila merekodkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan sebanyak 9.2 peratus pada tahun sebelumnya," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang turut merasmikan sesi libat urus itu. -- Sinar Harian