Subsidi bersasar, ini kalikah?
Irfan Faruqi
November 28, 2022 06:45 MYT
November 28, 2022 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Demi memberikan keperluan mencukupi untuk anak-anak, pendapatan RM1,500 terpaksa dibelanjakan sepenuhnya.
Itulah luahan penghantar barangan, Kamarudin Ibrahim, yang mengakui tidak mempunyai sebarang wang simpanan.
Baca lebih lanjut berkenaan kesan kenaikan harga kepada rakyat di sini.
Luahan ini mewakili nurani ramai rakyat Malaysia yang merasai tempias kenaikan harga barangan keperluan asas.
Bukan sahaja ayam dan sayur, malah kesan kenaikan harga perkhidmatan yang turut dirasai pengguna.
Oleh yang demikian, rakyat secara umum bergantung harap kepada subsidi yang diberikan oleh kerajaan.
Bukan kerana mengharapkan pemberian semata-mata. Tetapi untuk membolehkan seorang bapa seperti Kamaruddin menggunakan lebih pendapatan boleh guna itu untuk memenuhi keperluan anak-anak.
Bagi tujuan itu, dalam Bajet 2022 kerajaan telah menyediakan peruntukan RM32 bilion untuk menampung subsidi.
Pun begitu, setakat September 2022 jumlah itu telah meningkat hampir dua kali ganda kepada sekitar RM80 bilion.
Bagaimana subsidi dibelanjakan?
Berdasarkan kepada unjuran Kementerian Kewangan, subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung, ayam, dan telur (RM9.7 bilion); elektrik (RM5.8 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.
Manakala, Bantuan Kebajikan Masyarakat, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) adalah sebanyak RM11.7 bilion dan lain lain-lain subsidi sebanyak RM14.6 bilion.
Harus dijelaskan bahawa subsidi yang dibelanjakan oleh kerajaan tidak terbatas kepada subsidi kepenggunaan sahaja. Bahkan, kerajaan juga memperuntukkan subsidi untuk industri, seperti pertanian dan perikanan; pelancongan dan perumahan.
Adakah subsidi penyelesaian akhir?
Idea untuk kerajaan menampung sebahagian perbelanjaan rakyat yang susah adalah muhasabah. Tinggal lagi, hasil kerajaan yang diperoleh daripada cukai itu tidak sepatutnya kembali kepada pembayar cukai yang berpendapatan luar biasa tinggi.
Subsidi pukal seperti yang dilaksanakan sekarang terbuka kepada ketirisan. Menurut Pakar Ekonomi, Prof Madya Mohd Yusof Saari, adalah lebih wajar mengkaji kembali keseluruhan ekosistem pemberian subsidi.
Ini bagi mengelakkan sebarang langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat benar-benar menoktahkan masalah harga barang.
Lebih ekstrem, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, melontarkan pandangan supaya subsidi dihapuskan sepenuhnya. Kemudiannya, digantikan dengan bantuan tunai langsung kepada yang memerlukan.
Ringkasnya, subsidi hanyalah satu pilihan sebagai solusi isu kos sara hidup. Isu pokok adalah memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai wang yang cukup untuk berbelanja seadanya dan hidup bermaruah.
Bagaimana pula dengan rasionalisasi subsidi?
Rasionalisasi subsidi atau disebut juga sebagai subsidi bersasar, iaitu penstrukturan semula pengagihan pemberian subsidi ini telah lama dalam perhatian oleh kerajaan.
Pada tahun 2014, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Ahmad Maslan menyatakan akan meneliti kertas cadangan sistem rasionalisasi subsidi petrol RON95 dan diesel. Pun begitu, pelaksanaan yang dijangkakan setahun berikutnya itu tiada khabar - hanya angin.
Bahkan pada September 2022, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika itu Menteri Kewangan menyatakan hasrat untuk mempertimbang langkah penggunaan aplikasi teknologi untuk menyalurkan subsidi bersasar secara cekap kepada golongan terbabit.
Apapun, antisipasi kepada pelaksanaan rasionalisasi ini sangat tinggi. Diharapkan ini memanfaatkan keluarga yang kesuntukan wang, seterusnya dapat menambah pendapatan kerajaan tanpa memperkenalkan cukai baharu.
Bagaimana subsidi bersasar ini boleh dilaksanakan?
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, pada Ogos menegaskan dua senario perlu menjadi pertimbangan sebelum mengambil keputusan mengubah subsidi pukal ke subsidi bersasar. Iaitulah negara tidak lagi berdepan tekanan inflasi dan cara peralihan subsidi juga perlu dilaksana secara berperingkat.
Bagi Penganalisis Ekonomi, Prof Barjoyai Bardai pula, kerajaan diminta untuk berhati-hati dalam langkah pengurangan jumlah subsidi yang dibelanjakan, kerana ia dikhuatiri akan mengakibatkan kesan terhadap kadar inflasi secara mendadak.
Menurutnya, sekiranya tindakan itu dilakukan, berkemungkinan besar ia akan meningkatkan kadar inflasi sehingga 11 peratus, berbanding 3 peratus pada masa kini.
Bukan sahaja kadar subsidi, bahkan juga mekanisme pengagihan subsidi sangat penting. Ia mestilah efisien dan tidak memberi implikasi kewangan yang tidak muhasabah kepada kerajaan.
Ini antara perkara yang ditekankan oleh Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammed Abdul Khalid.
Apakah harapan yang boleh diletakkan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar ini?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi tempoh dua minggu untuk menelusuri seluruh implikasi dan berbincang dengan sektor swasta supaya mereka faham subsidi bertujuan meringankan beban rakyat.
Meskipun, hal ini sudah berulang kali diutarakan dan berakhir dengan sekadar kenyataan media kerajaan, sebahagian besar rakyat Malaysia mengharapkan ia dapat direalisasikan kali ini.
Memandangkan RHB Research juga menekankan kepada keperluan untuk melaksanakan pembaharuan fiskal dan ekonomi serta inisiatif rasionalisasi subsidi.
Antara perkara yang boleh diberikan tumpuan adalah jangka masa pelaksanaan subsidi bersasar ini. Selain itu, apakah reaksi industri kepada pengkhususan subsidi hanya kepada keluarga yang susah? Juga, bagaimana implikasi kewangan kerajaan? Lebih menguntungkan atau merugikan?
Apapun, kita nantikan. Dua minggu lagi, kita kemaskini.