Subramaniam hantar minit mesyuarat palsu kepada RoS - Sothinathan

T K Letchumy Tamboo
Julai 1, 2015 14:29 MYT
SOTHINATHAN: "Berlaku satu pembohongan apabila minit mesyuarat itu dipalsukan. Tiada mesyuarat seperti itu diadakan.
Setiausaha Agung MIC, Datuk S. Sothinathan hari ini mencabar Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk membuktikan bahawa satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim yang diadakan pada Mac adalah mengikut perlembagaan MIC.
Menurut Sothinathan, ini kerana mesyuarat dipengerusikan Dr Subramaniam itu, yang memutuskan bahawa Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi ahli parti berdasarkan Perkara 91 Perlembagaan MIC, adalah tidak sah.
Sothinathan berkata, menurut perkara 56.2 Perlembagaan MIC, hanya Setiausaha Agung parti boleh memanggil mesyuarat CWC di atas arahan presiden parti dan setakat ini tiada permintaan bertulis diterimanya dan tiada rekod tentang mesyuarat tersebut.
Sehubungan itu, Sothinathan mendakwa Dr Subramaniam yang mengelar dirinya sebagai pemangku Presiden MIC, telah menghantar minit mesyuarat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) serta media.
"Berlaku satu pembohongan apabila minit mesyuarat itu dipalsukan. Tiada mesyuarat seperti itu diadakan.
"Sekiranya benar mesyuarat itu diadakan dan surat bertulis itu dihantar kepada Setiausaha Agung parti, maka beliau harus membuktikannya dengan mengemukakan bukti-bukti yang berkaitan," katanya semasa satu sidang media, di sini, hari ini.
Apabila ditanya mungkinkah A. Saktivel, yang merupakan Setiausaha Agung yang diiktiraf oleh penyokong Subramaniam telah memanggil mesyuarat tersebut, Sothinathan berkata tiada rekod untuk mesyuarat itu juga.
Perkara 91 Perlembagaan MIC menyatakan hal berkaitan parti tidak boleh dirujuk kepada mahkamah tanpa persetujuan CWC.
Pada 5 Dis tahun lepas, RoS mengisytiharkan pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC serta beberapa pemilihan peringkat bahagian pada November 2013 sebagai tidak sah kerana dakwaan berlaku penyelewengan.
Susulan keputusan itu, RoS menasihati MIC supaya tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu itu selesai dan memberi tempoh 90 hari untuk mengadakan pemilihan semula.
#Artikel 91 #CWC #MIC #Palanivel #ros #Sothinathan #subramaniam
;