Subramaniam gesa 7 lagi ahli CWC hadir mesyuarat

Harits Asyraf Hasnan
Julai 5, 2015 14:25 MYT
SUBRAMANIAM:Kita berusaha untuk selamatkan parti. Bagilah cadangan dan idea. Jangan takut. Anda masih ahli MIC dan anggota CWC. - Gambar fail
Pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa tujuh ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat, CWC parti itu hadir pada mesyuarat akan datang.
Katanya, hadir mesyuarat adalah platform terbaik bagi mendapatkan cadangan dalam memastikan parti itu terus kukuh.
Jelas Subramaniam, kehadiran dua ahli CWC dalam mesyuarat pada Ahad merupakan satu petanda positif berkenaan kepentingan pemilihan parti.
“Saya mengambil peluang ini untuk baki sembilan untuk datang mesyuarat. Bagi pandangan, kita bertugas untuk parti. Anda bukan orang luar.
“Anda ahli komiti (CWC), kenapa nak bersuara di luar? Masuklah mesyuarat. Kesemua sembilan yang lain tolong lah datang,” kata Subramaniam.
Subramaniam turut mengalu-alukan kehadiran Datuk G. Kumar Aaman dan K.P Samy pada mesyuarat di Ibu Pejabat MIC itu.
Mereka berdua merupakan sebahagian daripada sembilan ahli CWC MIC bagi tahun 2009 yang bersama kepimpinan Datuk Seri G. Palanivel sebelum ini.
Sementara itu, Subramaniam menegaskan Palanivel tidak layak untuk bertanding pada pemilihan akan datang kerana beliau bukan lagi ahli MIC.
Katanya, Palanivel perlu merayu untuk mendapatkan semula keahlian jika ingin bertanding pada pemilihan akan datang.
“Pada masa sekarang tak boleh melainkan dia buat rayuan dan CWC terima rayuan itu. Itu proses yang lain, pada ketika sekarang tak boleh,” tegas Subramaniam.
Diminta mengulas sikap Palanivel yang dilihat acuh tak acuh dalam pendiriannya, ini komen Subramaniam.
“Tapi yang mereka buat hanya untuk kecohkan keadaan. Buat mesyuarat haram. Umum mesyuarat haram tergempar.
“Hari berikutnya bagi tarikh lain (untuk pemilihan parti). Semuanya dengan satu tujuan. Kamu (Palanivel) mahu kelirukan orang ramai,” ujar Subramaniam.
#CWC #MIC
;