Subramaniam: Gaji minimum manifesto Pakatan Rakyat berisiko
Khairunnisa Kasnoon
Februari 26, 2013 19:54 MYT
Februari 26, 2013 19:54 MYT
Manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk memperkenalkan gaji minimum RM1,100 sebulan akan memberi risiko tinggi terhadap daya saing Malaysia.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini memaklumkan bahawa jumlah yang dicadangkan itu hanya akan meningkatkan kadar inflasi dan pengangguran serta menjadikan negara kurang menarik kepada pelabur asing.
Jelas Subramaniam, kerajaan mengambil kira faktor itu sebelum menetapkan RM900 sebulan sebagai gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak.
Malah tegasnya, pada kadar sedia ada kini, perusahaan kecil dan sederhana sudah mengeluh apatah lagi jika sekiranya ia ditetapkan pada RM1,100.
Subramaniam berkata PR membuat cadangan itu berdasarkan satu laporan bank dunia, iaitu laporan yang juga digunakan oleh kerajaan apabila membuat keputusan tentang gaji minimum.
Laporan tersebut dikeluarkan atas permintaan Kementerian Sumber Manusia, mencadangkan julat gaji minimum antara RM800 hingga RM1,200 sebulan.
Tambahnya, lebih tinggi gaji minimum yang dilaksanakan, maka lebih tinggi risiko yang perlu dihadapi.
Pada masa yang sama, beliau juga menyifatkan manifesto itu hanya sekadar janji pilihan raya.