Subkontraktor wanita tidak mengaku salah tipu dokumen pembiayaan
Adie Sufian Zulkefli
September 21, 2022 12:00 MYT
September 21, 2022 12:00 MYT
ALOR SETAR: Seorang subkontraktor wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu permohonan pinjaman bank bernilai RM200,000 pada Febuari 2020.
Tertuduh, Nor Syatillah Abd Aziz, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curang telah memperdaya pihak Bank Rakyat dengan mengemukakan dokumen palsu untuk permohonan pembiayaan bertempat di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang pada pukul 3 petang 12 Febuari 2020.
Dengan penipuan butiran dalam dokumen yang diberikan tertuduh pihak bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM200,000 dan terus dimasukkan ke dalam akaun Bank Rakyat milik tertuduh.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000.
Tertuduh yang diwakili peguam, Izatul Sazrin Muhd Zin, bagaimanapun memohon dikurangkan kerana tertuduh merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syaliati Sobri menawarkan ikat jamin RM7,000 terhadapnya dan tertuduh membayar jaminan terbabit.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes.