Subjek tentang rasuah perlu lebih diketengahkan di sekolah - Arus Anak Muda
Israr Khalid
Oktober 22, 2021 11:22 MYT
Oktober 22, 2021 11:22 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara perlu diperhalusi kembali perisiannya supaya lebih berkesan dalam memupuk budaya murni dalam diri setiap anggota generasi akan datang.
Antara langkah yang boleh dimulakan, menurut pengasas bersama Arus Anak Muda, Nabil Halimi, adalah menjadikan topik rasuah sebagai satu mata pelajaran penting dalam silibus pelajaran pelajar di sekolah.
Di samping itu, perlu juga diberi pendedahan kepada ilmu politik tentang kepentingannya kepada kelangsungan negara, supaya ia tidak terus dilihat sebagai sesuatu yang perlu dijauhi dek gambaran buruk yang diberikan sebahagian kepemimpinan hari ini.
“Saya tak pernah ingat semasa di sekolah dahulu yang rasuah itu satu tajuk yang diceritakan oleh guru-guru, ada subjek sivik dan kewarganegaraan tetapi ia bukan wajib dan sekadar sampingan.
“Maka perkara ini dari awal lagi perlu ada di sekolah, maksudnya kita dibiasakan tentang perkara itu, tentang tak boleh ambil hak orang, tentang lompat parti, tentang hak kita sebagai rakyat.”
Nabil melihat solusinya adalah dengan melalui sistem pendidikan, yang perlu mengambil kesempatan atas ruang dan waktu ketidak tentuan ini untuk melihat semula perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik untuk melahirkan generasi masa depan yang lebih berkualiti.
Nabil bersama dua lagi panel menyertai hos Dzulfitri Yusop dalam Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Tonton di sini:
Subjek tentang rasuah perlu lebih diketengahkan di sekolah
Dialog Tiga Penjuru: Tolak Pemimpin Munafik