Sub-komander Abu Sayyaf terlibat penculikan ditembak mati
Ruzaini Zulkepli
Mac 21, 2021 14:34 MYT
Mac 21, 2021 14:34 MYT
KOTA KINABALU : Perancang utama kegiatan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di Sabah, Apo Mike, mati ditembak Polis Filipina, pada Jumaat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Apo Mike disahkan mati ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina.
"Bagaimanapun kita masih menunggu maklumat lengkap mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Media Filipina melaporkan Apo Mike maut dalam pertempuran dengan pihak keselamatan di Pulau Barangay Kalupang di Tawi-Tawi.
Apo Mike atau nama sebenarnya Majan Sahidjuan adalah seorang sub-komander Abu Sayyaf.
Dia dipercayai mengetuai beberapa siri penculikan termasuk kes penculikan empat rakyat Sarawak di perairan Semporna, Sabah pada 2016.
Apo Mike juga adalah antara 21 senarai penjenayah dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) kerana terbabit aktif melakukan jenayah termasuk penculikan yang berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).