Sub-keturunan Omicron (BA.2) dijangka ganti varian asal di Sarawak
Fadilah Sulaiman
Mac 12, 2022 18:31 MYT
Mac 12, 2022 18:31 MYT
KUCHING: Kemunculan sub-keturunan varian Omicron (BA.2) dijangka menggantikan varian asal itu di Sarawak, kata Profesor Dr David Perera.
Beliau yang juga Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata dalam tempoh 11 Januari hingga 28 Februari lalu pihaknya mengesahkan sebanyak 686 sampel kes positif COVID-19 adalah BA.1.1 529 Omicron VOC.
Malah IHCM turut mendapati lebih 90 peratus diwakili BA.2 daripada semua sampel yang menjalani penjujukan genom pada minggu terakhir bulan lalu.
Dalam dapatan tersebut, beberapa sub-keturunan terdiri daripada BA.1 (16 kes) BA.1.1 (339 kes) dan BA.2 (331 kes) turut dikesan.
“Dengan penemuan itu, ia menunjukkan sub-keturunan BA.2 kini telah menggantikan BA.1 Omicron yang sebelum ini mendominasi di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap peningkatan risiko penularan komuniti bagi sub-keturunan BA.2 varian Omicron.
Kata Dr Perera, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah menunjukkan bahawa sub-keturunan BA.2 ini adalah 30 peratus lebih berjangkit daripada BA.1 Omicron.