Suasana sayu semasa prosiding 1MDB susulan kematian Gopal Sri Ram
Astro Awani
Januari 30, 2023 13:21 MYT
Januari 30, 2023 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: "Mendiang ibarat bapa kami."
Itu kata-kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang gagal menahan sebak semasa prosiding perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula pagi ini.
Suasana sayu dan suram menyelubungi bilik mahkamah susulan pemergian mengejut Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pada Ahad.
Ahmad Akram memulakan sesi pada pagi ini dengan memberitahu Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa Sri Ram telah meninggal dunia dan memohon prosiding ditangguhkan.
“Beliau ibarat bapa dan ketua pasukan buat kami, oleh itu kami dengan rendah hati memohon kepada mahkamah, untuk membenarkan penangguhan prosiding hari ini dan esok.
“Ini kerana kami perlu berbincang untuk pengagihan semula tugas selain memberi penghormatan kepada mendiang buat kali terakhir dan kami berharap dapat berada di sana esok,” katanya.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan perbicaraan akan bersambung pada Khamis.
Sri Ram, 79, yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.
Beliau merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan 1MDB dan turut mengetuai pendakwaan terhadap isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam kes rasuah melibatkan projek tenaga solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta.