Suasana sayu iringi pemergian mangsa lemas

Astro Awani
Januari 4, 2018 13:38 MYT
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Bukit sagu 1, Kuantan pada jam 10.30 pagi tadi. - Astro AWANI
Suasana sayu menyelubungi pengebumian jenazah Muhammad Farish Aqeel, 7 tahun, mangsa lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Kampung Padang Jaya, Jalan Sungai Lembing Kuantan, kira-kira jam 6 petang Rabu semalam.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Bukit sagu 1, Kuantan pada jam 10.30 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah Muhammad Farish Aqeel disolatkan di rumah neneknya di felda Bukit sagu Satu setelah dibawa pulang dari Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan semalam.
Hampir 100 penduduk, anggota keluarga serta saudara mara hadir ke pengebumian mangsa.
Mangsa disifatkan sebagai cucu yang sangat manja dan sangat rapat dengan neneknya Maimun Hussin.
"Dia cucu yang baik dan manja dengan saya. Setiap kali tidur atau duduk, atas lengan . Dia manja... dia dua beradik memang (manja) dengan saya," ujar Maimun.
Sifat riang dan mudah mesra arwah juga diakui oleh guru sekolahnya walaupun hanya sempat dua hari bersekolah.
“Hari semalam tu, dia sangat happy. Sebab lagipun dia baru dapat buku teks," ujar pemangku guru besar Sekolah Rendah Islam Indera Mahkota, Suhaila Abdul Manaf.
Bapa mangsa, Muhamad Afif Abdul Razak, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan jenazah anaknya.
"Saya mengucapkan terima kasih, daripada semalam, kepada semua agensi yang terlibat - bomba, polis dan hospital - bagi melancarkan proses arwah anak saya ini.
"Pada rakyat Malaysia, saya mohon mendoakan anak saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan kami sekeluarga dimudahkan segala urusan, insyaAllah," ujarnya.
BACA: Dia anak harapan saya, tetapi Tuhan lebih sayang dia - Bapa mangsa banjir
#banjir #kebumi #lemas #mangsa #Pahang
;