Suasana pusat mengundi di DUN Simpang Jeram meriah, orang muda beratur awal pagi
Shuhada Abdul Kadir
September 9, 2023 10:30 MYT
September 9, 2023 10:30 MYT
MUAR: Berbeza dengan beberapa siri pilihan raya sebelum ini, kesedaran orang ramai khususnya golongan muda keluar menunaikan tanggungjawab dilihat lebih tinggi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Tinjauan Astro AWANI di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Pei Chai, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram mendapati, seawal jam 7.30 pagi orang ramai sudah mula beratur sementara menunggu pusat mengundi dibuka secara rasmi tepat jam 8 pagi.
Seorang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Fairuz Noorhasan, 22, berkata, dia tidak melepaskan peluang balik ke kampung halamannya di Taman Fajar, Bakri untuk mengundi.
Ujarnya, walaupun terpaksa menaiki bas selama kira-kira 10 jam, namun dia berpandangan setiap undi adalah penting dan memilih untuk keluar mengundi seawal pagi bagi mengelakkan kesesakan pada sebelah petang.
“Memandangkan Kelantan dan Johor ini agak jauh, saya biasanya hanya akan balik pada cuti panjang seperti hari perayaan atau cuti semester.
“Tetapi walaupun perjalanan saya panjang, saya tetap tidak akan lepaskan peluang untuk mengundi kerana pada saya ini adalah tanggungjawab dan bukan susah pun untuk mengundi,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains dan Seni Binaan itu berkata, malahan dia bukan sahaja mengambil tahu siapa calon yang bertanding, sebaliknya dia turut menikai manifesto yang ditawarkan oleh semua calon.
Keterujaan sama turut disuarakan seorang pekerja swasta, Muhammad Nur Suhaimi, 21, yang hadir ke pusat mengundi pada jam 8 pagi dan menjadi antara pengundi muda terawal.
“Pada saya satu undi itu sangat penting dan sebab itu walaupun saya bekerja hari ini, saya pilih keluar rumah awal untjk datang mengundi dahulu.
“Saya memang tinggal di kawasan DUN ini dan saya mengikuti perjalanan kempen, jadi saya takut kalau saya tidak datang mengundi nanti calon yang saya rasa layak untuk menang itu akan kalah,”katanya.
Bagi Ng Pei Yao, 23, dia turut memilih untuk datang awal memandangkan dia perlu ke luar kawasan dan bimbang tidak sempat untuk mengundi.
Selain itu katanya, dia juga bimbang sekiranya hujan pada sebelah petang akan menyukarkan lagi pergerakannya untuk keluar mengundi.
“Saya ada urusan nanti, jadi saya datang mengundi dahulu dan kemudian baru ibu serta ayah saya akan datang.
“Saya ingat datang awal pagi tidak ramai, rupanya ramai juga kerana saya perlu beratur sementara menunggu giliran untuk mengundi,” ujarnya.
PRK DUN Simpang Jeram kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman, calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya serta calon Bebas S.Jeganathan.
Untuk rekod Kerusi Simpang Jeram mempunyai 40,488 pengundi yang terdiri daripada 21,005 Melayu (51.87 peratus), 18,052 (44.58 peratus), 1,027 India (2.53 peratus) dan lain-lain bangsa 404 orang (0.99 peratus).