Suasana pilu sambut mayat 4 beranak mangsa kebakaran USJ

Astro Awani
Februari 7, 2017 21:30 MYT
Yeoh Ah Keow, 80 (dua, kiri) ibu kepada mendiang Lim Ah Kok, 59 bersama anggota keluarga yang lain memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di USJ semalam. - Foto Bernama
Suasana pilu menyelubungi perkarangan Rumah Pengebumian Jalan Bunga Raya Merah, dekat Mak Mandin di sini hari ini apabila ahli keluarga serta sahabat handai kepada empat beranak yang maut dalam kebakaran di rumah mereka di Subang Jaya pada Isnin, hadir memberi penghormatan terakhir.
Mayat Lim Ah Kok, 58, isterinya, Goh Bee Khim, 51, dan dua anak lelaki mereka Lim Yong Leong, 20, serta Lim Yong Wei, 17, dibawa dari Hospital Serdang dan tiba di Pulau Pinang kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Ketibaan keempat-empat mayat berkenaan di kampung halaman mendiang disambut penuh hiba dan tangisan ahli keluarga.
BACA: Empat sekeluarga maut kebakaran awal pagi di Subang Jaya
BACA: Kematian empat sekeluarga akibat hidu asap tebal - Polis
Difahamkan, upacara keagamaan akan diadakan selama tiga hari sebelum upacara pembakaran mayat diadakan pada Jumaat ini.
Sementara itu, adik mangsa, Lim Ah Bak, ketika ditemui memaklumkan dia tidak menyangka akan kehilangan ahli keluarga secara serentak dalam tragedi berkenaan.
Ujarnya, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya ialah pada hari sambutan Tahun Baharu Cina minggu lalu dan tiada sebarang perubahan ketara yang ditunjukkan mendiang abangnya pada pertemuan itu.
“Mendiang seperti biasa pada Hari Tahun Baharu Cina balik dari Kuala Lumpur ke rumah kami. Kita merayakan sama–sama, makan sama-sama, seperti biasa sama-sama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ah Bak memberitahu anak saudaranya yang terselamat masih bersedih dan terkesan dengan kehilangan ahli keluarganya.
Anak perempuan sulung mendiang Ah Kok dan Bee Khim iaitu Lim Yi Jun, 21, tiada di rumah kerana tinggal di asrama Universiti UCSI, di Cheras, Kuala Lumpur sewaktu kebakaran.
Kata Ah Bak, ahli keluarganya akan menjaga Yi Jun buat sementara waktu bagi memastikan dia dapat meneruskan pengajiannya di masa depan.
“Dia (anak saudara) okey, dia sangat tabah. Ketika ini dia masih belajar dan kita semua boleh jaga dia,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi semalam, Lim Ah Kok, 58, isterinya, Goh Bee Khim, 51, dan dua anak lelakinya Lim Yong Leong, 20, serta Lim Yong Wei, 17, maut akibat kesukaran bernafas kerana terhidu asap tebal.
Mendiang Ah Kok merupakan ejen hartanah manakala isterinya seorang suri rumah.
Mendiang Yong Leong merupakan seorang pelajar di Kolej SEGI manakala adiknya, Yong Wei merupakan pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield.
#kebakaran #kebakaran Subang Jaya #rumah pengebumian #Rumah Pengebumian Jalan Bunga Raya Merah #USJ
;