Suasana kembali tenang selepas tahap keselamatan dipertingkatkan

Astro Awani
November 27, 2018 05:10 MYT
Anggota keselamatan termasuk dari FRU bersiap sedia untuk bertindak bagi memastikan lokasi tersebut tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. - Gambar fail
Suasana di sekitar kawasan Kuil Sri Maha Mariaman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor kembali tenang dan aman pada Selasa susulan kekecohanan selepas polis mempertingkatkan keselamatan dengan menambah kekuatan anggota.
Bernama melaporkan, lantaran tidak berkompromi soal ketenteraman awam apabila 1,400 anggota keselamatan termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), polis dan anggota trafik dikerahkan ke sekitar kawasan kuil Selasa malam.
Mereka memastikan sebarang kekacauan segera dibendung apabila mereka menghalang sekumpulan lelaki daripada mendekati kuil berkenaan pada kira-kira jam 11.30 malam.
Susulan insiden kekecohan di tapak kuil serta kawasan sekitarnya tercetus awal Isnin sebelum berulang pada awal pagi Selasa, polis setakat ini menahan 21 lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam insiden ganas itu.
Anggota bomba berkenaan, yang mengalami beberapa kecederaan termasuk patah beberapa tulang rusuk, menerima rangkaian pelawat di hospital berkenaan termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Selain itu, turut melawat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Waytha Moorthy, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Sementara itu, Gobind menasihati pengguna media sosial supaya mengawal perasaan apabila memberi komen berhubung insiden di kuil itu.
Beliau juga mengingatkan petugas media supaya menjaga keselesaan keluarga mangsa dan menghormati privasi mereka, serta lebih berwaspada ketika menjalankan tugas masing-masing.
Pada 31 Okt, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin, Selangor, V. Ganabatirau berkata, empat pihak menerusi penghakiman luar mahkamah pada 11 Mac 2014 bersetuju dengan pemindahan kuil itu dan mengembalikan tapak kuil kepada tuan punya berkenaan.
Empat pihak itu ialah kerajaan negeri, tuan punya tanah kuil One City Development Sdn Bhd dan dua individu yang mendakwa menjadi pentadbir kuil K. Chellappa dan M. Nagaraju, katanya.
Chellappa memfail bantahan terhadap tindakan One City untuk mengambil semula tapak kuil itu pada 1996.
Ganabatirau berkata dalam keputusan luar mahkamah itu, One City bersetuju memberi deposit RM1.5 juta kepada kuil itu, dan difahamkan wang itu telah didepositkan kepada peguam kuil.
Kerajaan negeri menyerahkan lot tanah 0.4-hektar, yang terletak pada jarak tiga kilometer untuk menempatkan semula kuil berkenaan.
BACA: Isu kuil bukan isu Melayu vs India - Tun Mahathir
BACA: Insiden kuil hanya unsur jenayah, dalang tidak akan terlepas - Tun Mahathir
INFOGRAFIK: Kronologi insiden Kuil Sri Maha Mariamman
#aman #anggota keselamatan #FRU #keselamatan umum #kuil sri maha mariamman #polis #rakyat Malaysia #selamat
;