Suasana, budaya pembelajaran Tingkatan 6 perlu lebih ruang dan bebas - Anwar
Hasimi Muhamad
Jun 24, 2023 18:59 MYT
Jun 24, 2023 18:59 MYT
KUALA LUMPUR: Suasana pembelajaran bagi pelajar Tingkatan 6 di negara ini perlu diberi lebih banyak ruang dan kebebasan, selain tidak terlalu terikat dengan peraturan sekolah.
Walaupun berada dalam kawasan sekolah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tingkatan 6 adalah pascasekolah dan budaya perlu diubah dengan tidak lagi dilayan seperti sesi persekolahan biasa.
"Sekolah itu berakhir di Tingkatan 5, dan Tingkatan 6 kena tentukan kaedah supaya cara guru melayani dan suasana itu diberi lebih banyak ruang agar mereka lebih bebas dan berinteraksi tidak sepertimana kurikulum atau peraturan di sekolah.
"Insya-Allah saya akan tentukan ia berlaku (perubahan suasana Tingkatan 6)," katanya pada Program Temu Anwar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ramai pelajar Tingkatan 6 telah mengeluh mengenai peraturan dan budaya serta mengusulkan agar perkara itu dibawa kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada sesi dialog sebelum ini.
"Saya juga mengikuti Tingkatan 6 dan ketika itu blok dan peraturan pun berasingan, budaya juga berasingan dan tak sama dengan sekolah.
"Jadi ada cadangan supaya tak semestinya ia kolej berasingan. Kalau pun sebahagian daripada (kawasan) sekolah tetapi jangan terikat dengan peraturan sekolah dan beri sedikit kelonggaran," tambah Perdana Menteri.
Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mempertimbangkan untuk memulakan projek hospital universiti di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Beliau berkata, projek hospital universiti antara dua permohonan mendesak yang diperlukan oleh universiti berkenaan selain kolej kediaman.