#SuaraMalaysia: Rakyat tunggu pengumuman subsidi dalam Belanjawan 2023

Astro Awani
Februari 23, 2023 19:00 MYT
Didapati 59 peratus menyatakan mereka paling menantikan pengumuman berkaitan subsidi.
KOS sara hidup, subsidi bersasar dan usaha mengurangkan hutang dijangka menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan esok.
Pastinya rakyat tidak sabar menantikan apakah bentuk faedah dan inisiatif yang akan dinikmati. Sehubungan itu, kami telah bertanyakan kepada orang ramai di pelbagai platform Astro AWANI mengenainya.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Apa yang dinantikan pada Belanjawan 2023 esok?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Khamis.
Daripada 407 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 59 peratus menyatakan mereka paling menantikan pengumuman berkaitan subsidi.
Sebanyak 34 peratus memilih pelepasan cukai, manakala baki tujuh peratus pula tidak sabar untuk melihat warna baju Melayu yang bakal dikenakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, sebagaimana tradisi yang diamalkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.
Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca-PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.
#Suara Malaysia #Belanjawan 2023 #Bajet 2023 #subsidi
;