#SuaraMalaysia: Menjelang Belanjawan 2023, bantuan sara hidup jadi tumpuan
Astro Awani
Februari 8, 2023 19:13 MYT
Februari 8, 2023 19:13 MYT
PENINGKATAN kos sara hidup sememangnya menjadi kebimbangan utama sebahagian besar rakyat Malaysia.
Menjelang pembentangan Belanjawan 2023, pastinya rakyat menantikan inisiatif daripada kerajaan yang mampu dinikmati semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, kami telah bertanyakan kepada orang ramai di pelbagai platform Astro AWANI.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Menjelang Belanjawan 2023, apa tumpuan anda?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Rabu.
Daripada 2,360 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 57 peratus responden menyatakan bahawa bantuan sara hidup menjadi tumpuan utama mereka.
Sebanyak 23 peratus memilih cukai, manakala baki 20 peratus memfokuskan pada subisidi.
Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca-PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.