#SuaraMalaysia: Majoriti bimbang kos harga barang makanan

Astro Awani
Januari 24, 2023 19:16 MYT
Sebanyak 85 peratus responden #SuaraMalaysia menyatakan kos barangan makanan adalah yang paling dibimbangi mereka. - Gambar hiasan/ Bernama
PENINGKATAN kos sara hidup sememangnya diketahui menjadi kebimbangan utama semua pihak terutama rakyat.
Peningkatan harga barangan keperluan dan kemudahan asas memerlukan penyelesaian berkesan melalui langkah proaktif kerajaan bagi membela nasib rakyat.
Di Astro AWANI, kami telah bertanyakan kepada pembaca, penonton dan pengikut di pelbagai platform kami mengenai isu ini.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Pantau Harga: Kos apa yang meresahkan anda?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Selasa.
Daripada 3,336 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 85 peratus responden menyatakan kos barangan makanan adalah yang paling dibimbangi mereka.
Sebanyak 12 peratus memilih perubatan, manakala baki tiga peratus risau dengan kos pengangkutan.
Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.
#kos sara hidup #harga barang #ekonomi #Suara Malaysia
;