#SuaraMalaysia: Hampir 60 peratus responden setuju wajibkan semula pelitup muka

Faida Rahim
Januari 5, 2023 20:30 MYT
Astro AWANI mengajukan soalan kepada netizen bertanyakan sama ada pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di negara ini dalam mengekang wabak COVID-19. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka di seluruh dunia kembali hangat diperkatakan. Ini berikutan peningkatan kes ketara di China manakala Amerika Syarikat (AS) turut melaporkan peningkatan kes membabitkan beberapa bandar dan daerah termasuk New York serta Los Angeles.
Kebimbangan penduduk dunia dirasai selepas China yang berdepan dengan peningkatan kes mendadak kebelakangan ini mengumumkan akan membuka sempadannya bermula Ahad ini (8 Januari).
Sehingga pukul 8.25 malam tadi, sebanyak 58 peratus daripada keseluruhan responden Astro AWANI bersetuju agar pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di negara ini.
Daripada keseluruhan 1,452 responden, 842 menjawab 'ya', 34 peratus atau 494 responden menjawab 'tidak', manakala lapan peratus atau 116 responden lagi menjawab 'tidak pasti’.
Hari ini (Januari 5, 2023), Astro AWANI mengajukan soalan kepada netizen bertanyakan sama ada pemakaian pelitup muka diwajibkan semula di negara ini dalam mengekang wabak COVID-19.
Kelmarin, kerajaan negeri Melaka tidak teragak-agak untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat orang ramai dan sesak sekiranya kes COVID-19 menunjukkan peningkatan.
Manakala di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan Kerajaan Negeri Sembilan akan mewajibkan pemakaian pelitup muka sekiranya kes Covid-19 merekodkan peningkatan mendadak di negeri itu.
Astro AWANI turut membuat tinjauan di beberapa lokasi perniagaan di Lembah Klang. Rata-rata pemilik kedai bersetuju agar pemakaian semula pelitup muka diwajibkan di dalam premis dan hal ini perlu dipandang serius.
Pemilik Restoran Nasi Tiga Tiga, Gombak, Noor Fadilla Barhanuddin memaklumkan sebagai pengusaha restoran, dia amat menitikberatkan langkah keselamatan ke tahap maksimum sejak pandemik menyerang.
“Sebagai pengusaha restoran, saya memastikan para pekerja untuk sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam kedai.
“Saya juga sering mengingatkan mereka untuk kerap mencuci tangan dan menjaga kebersihan. Bagi saya ia sangat penting kerana melibatkan ramai pelanggan dari peringkat bayi hingga warga emas.
“Saya memandang serius akan hal ini kerana jika berlaku sekali lagi penularan besaran dan lockdown dilakukan semula, sudah tentu akan memberi kesan kepada bisnes saya,” katanya yang menjual nasi gulai Kelantan sejak sembilan tahun lalu.
Manakala bagi pemilik Barberorama Barbershop Wangsa Maju, Fahrul Redza Ramlan menyokong agar pemakaian pelitup muka diwajibkan semula dalam memastikan penularan wabak tidak mudah berjangkit antara satu sama lain.
“Kalau ditanya pendapat saya, sudah tentu saya sokong. Sebagai langkah keselamatan dan berjaga, ada baiknya kita cegah sebelum terkena. Saya sendiri walaupun Kerajaan sudah beri banyak kelonggaran, saya masih pakai pelitup muka bila keluar rumah.
“Kalau boleh biarlah situasi terkawal kerana saya tidak sanggup lalui tempoh lockdown sekali. Cukuplah tempoh PKP lepas yang beri kesan amat besar kepada perniagaan saya. Tidak nafikan ada orang cakap, tak pakai pelitup muka pun kena, pakai pelitup muka pun kena. Kalau tanya saya, pakailah…beringat sebelum terkena, gunakanlah pelitup muka," katanya.
Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu dan kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan. Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.
#pelitup muka #suara rakyat #COVID-19 #PKP
;