#SuaraMalaysia: 86 peratus responden bimbang kos barangan makanan

Astro Awani
Januari 11, 2023 19:44 MYT
Didapati 86 peratus responden menyatakan kos barangan makanan adalah yang paling dibimbangi mereka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Peningkatan kos sara hidup sememangnya diketahui menjadi kebimbangan utama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Harga barangan keperluan dan kemudahan asas memerlukan langkah proaktif daripada kerajaan bagi memastikan ia mampu dinikmati semua lapisan rakyat.
Kami telah bertanyakan kepada anda di pelbagai platform Astro AWANI.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Pantau Harga: Kos apa yang meresahkan anda?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Rabu.
Daripada 1,093 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 86 peratus responden menyatakan kos barangan makanan adalah yang paling dibimbangi mereka.
Sebanyak 11 peratus memilih perubatan, manakala baki tiga peratus risau dengan kos pengangkutan.
Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam, dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.
#kos sara hidup #Malaysia #barang makanan #pengangkutan #perubatan
;