#SuaraMalaysia: 56 peratus tumpuan kepada kos sara hidup
Faida Rahim
Februari 10, 2023 19:24 MYT
Februari 10, 2023 19:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kos sara hidup terus menjadi tumpuan utama menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.
Sudah tentu ramai yang menantikan sama ada lebih banyak subsidi akan diumumkan untuk mengatasi isu kos sara hidup di negara ini.
Sehubungan itu, kami telah bertanyakan kepada orang ramai di pelbagai platform Astro AWANI.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi - Menjelang Belanjawan 2023, apa tumpuan anda?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Jumaat.
Daripada 2,527 responden yang mengikuti kaji selidik #SuaraMalaysia ini, didapati 56 peratus responden menyatakan bahawa bantuan sara hidup menjadi tumpuan utama mereka.
Dalam pada itu, sebanyak 24 peratus memilih cukai, manakala baki 20 peratus memfokuskan pada subisidi.
Mengangkat tema "Pantau Kerajaan Baharu" pasca-PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Soalan baharu akan dikemukakan bermula Buletin AWANI jam 12 tengah malam dan keputusan akan dikongsi pada keesokan harinya.
Kami juga akan menggunakan tanda pagar #SuaraMalaysia di media sosial bagi mengikuti segala komen dan pandangan anda tentang isu yang diutarakan.
Apa yang perlu anda buat, tonton segmen berita kami di saluran 501 AWANI dan imbas kod QR yang tertera untuk mengakses soalan yang disediakan.