SUARAM, SUHAKAM gesa 142 kanak-kanak ditahan di bawah POCA dibebaskan

Rahimah Abdullah
Januari 30, 2019 12:36 MYT
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). Gambar Rahimah Abdullah
Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menggesa kerajaan membebaskan 142 kanak-kanak yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, kesemua mereka sepatutnya dikenakan undang-undang lain dan bukan POCA yang banyak memberi kesan trauma kepada kanak-kanak berkenaan.
“Penahanan ini ada dua, satu dalam pusat tahanan. Satu lagi kawasan perintah. Jangan dolak-dalik kata tidak tahan. Memang ada ditahan dalam kawasan perintah. Itupun kena bebas. SUARAM menggesa semua tahanan juvana tanpa bicara ini dibebaskan segeara.Kalau pihak polis ada bukti kukuh bahawa dia adalah seorang penjenayah tegar, kalau jenayah kecil, dia sudah dijatuhkan hukum tanpa bicara. Jadi, bebaskan segera,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Malah, kerajaaan digesa memberikan jumlah sebenar kanak-kanak yang belum atau sudah dibebaskan sehingga hari ini.
Katanya, selepas dibebaskan, kanak-kanak itu perlu diberikan pampasan sepatutnya.
"Kerajaan baru ini kalau mereka komited mereka perlu bebaskan semua dan membayar pampasan sewajarnya," ujarnya.
Dalam pada itu SUARAM bertegas bahawa peranti pemantauan elektronik (EMD) tidak sepatutnya dipasang pada kaki kanak-kanak yang disiasat di bawah POCA kerana ia memberi kesan emosi kepada mereka.
"Dalam kes ini, walaupun 142, tetapi sebab penyalahgunaan kuasa oleh polis, mereka guna pakai sahaja sebab dulu mereka kata nak guna POCA untuk penjenayah tegar sahaja. Kalau betul ada yang cuba membunuh, bawalah dia ke mahkamah guna undang-undang sewajarnya, dan bukan POCA," tambahnya.
Badan bukan kerajaan itu juga mencadangkan tahanan juvana berkenaan diberikan program rehabilitasi khas bagi membantu mereka.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph menegaskan, penahanan pesalah juvana di bawah POCA adalah tidak selaras dengan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
"Kita bersetuju ikut piawaian konvesnyen. Dalam konvensyen itu menyebut tiada seorang kanak-kanak yang boleh diperlakukan dengan hukuman penjara. Bawah 18 tahun tidak sepatutnya diletakkan di dalam penjara dewasa. Carilah alternatif lain untuk menempatkan mereka di tempat lain. POCA dilihat sebagai pilihan pertama dan bukan pilihan terakhir terhadap pesalah juvana," kata beliau lagi.
Malah beliau menyifatkan penjara di Malaysia adalah tidak sesuai untuk menempatkan kanak-kanak.
"Pemantauan kita, kanak-kanak ini ada yang ada penyakit kulit. Kualiti makanan juga tidak elok untuk mereka dan juga tahanan 60 hari reman itu juga tidak sepatutnya dibuat ke atas mereka," tambah beliau.
#Akta Pencegahan Jenayah 1959 #jenayah #Kanak-kanak #kerajaan #mahkamah #Malaysia #Media #PBB #penjara #perhimpunan #POCA #polis #rakyat #rakyat Malaysia #SUARAM #Suhakam #undang-undang
;