Suaram desak Khalid Ismath, Matthias Chang, Khairuddin Hassan dibebaskan

Astro Awani
Oktober 10, 2015 18:26 MYT
Khalid telah ditahan di Balai Polis Johor Bahru Selatan pada Rabu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana komen yang dimuat naik melalui akaun Twitternya. - Foto Facebook
Penahanan semula aktivis Khalid Ismath di bawah Akta Hasutan 1948 adalah keterlaluan dan bersifat melampau, kata organisasi hak asasi manusia Suaram dan mendesak agar dia dibebaskan.
Pengarah Eksekutifnya Sevan Doraisamy, yang mengesahkan tangkapan tersebut, dalam satu kenyataan media memberitahu tindakan polis tersebut adalah suatu yang menghina keputusan mahkamah.
Khalid dilaporkan ditangkap semu;la selepas dibebaskan dari reman pada Jumaat malam. Mahkamah sebelum itu menolak permohonan polis untuk melanjutkan remannya selepas dua hari.
Aktivis tersebut telah ditahan di Balai Polis Johor Bahru Selatan pada Rabu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana komen yang dimuat naik melalui akaun Twitternya berkaitan penahanan bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.
Portal Malaysiakini melaporkan, bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan telah menghubungi isteri Khalid dan dia kini ditahan di bawah Akta Hasutan.
Sevan menyatakan bahawa penahanan semula itu tidak perlu memandangkan pihak polis mempunyai cukup masa untuk menjalankan soal siasat ke atas Khalid ketika dia ditahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Suaram dengan ini mendesak pembebasan Khalid Ismath, dan juga Matthias Chang serta Khairuddin Hassan,” katanya.
#akta hasutan #Khalid Ismath #polis #Sevan Doraisamy #SUARAM
;