Suara rakyat: Orang Asli harap bantuan jangka pendek, panjang dalam RMK-12

Astro Awani
September 25, 2021 21:16 MYT
Orang Asli yang kebanyakannya masih bergantung hidup dengan hasil hutan, meminta kerajaan mencari penyelesaian membantu mereka meningkatkan taraf hidup. - Gambar hiasan
HULU TERENGGANU: Menjelang pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) tidak lama lagi, masyarakat Orang Asli turut meletakkan harapan kebajikan mereka akan diberi perhatian oleh kerajaan.
Tinjauan Astro AWANI di Hulu Terengganu, mendapati mereka yang kebanyakannya masih bergantung hidup dengan hasil hutan, meminta kerajaan mencari jalan penyelesaian membantu meningkatkan taraf hidup.
Menurut Ishak Namat, 58, dari Kampung Sungai Berua di sini, komuniti orang asli memerlukan kemahiran dalam pelbagai bidang demi meningkatkan ekonomi mereka.
Katanya, sempena RMK-12, usaha-usaha membantu golongan berkenaan perlu diperhebatkan kerana ramai dalam kalangan mereka mengalami kesukaran hidup.
"Saya harap kerajaan membantulah Orang Asli. Ramai yang berharap pada hasil hutan, tapi sampai bila?
"Cari hasil hutan pun bukan senang untuk dapat pendapatan, nanti perlu keluar untuk jual. Hendak keluar menjual pun payah disebabkan masalah pengangkutan dan sebagainya.
"Dengan sekatan pergerakan sebelum ini, kami pun tak dapat keluar. Kedai-kedai untuk kami letak barang-barang hutan pun tutup jadi susah sangat hendak mencari rezeki," katanya yang mencari dan menjual rotan untuk menyara hidup.
BACA SEMUA BERHUBUNG RANCANGAN MALAYSIA KE-12 DI SINI
Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Alias Pelong berkata, berharap bantuan kerajaan melalui RMK-12 dapat membuka ruang dalam memperkasa Orang Asli agar lebih berdaya saing.
"Kita berharap pihak kerajaan kalau boleh kita nak bantuan-bantuan jangka pendek dan jangka panjang.
"Di sini hasil-hasil pendapatan tidak berapa ada, mengharapkan kelapa sawit... hasil-hasil hutan sekarang susah... Jadi kita nak bantuan daripada pihak kerajaan seperti bantuan barang makan atau barangan kewangan untuk meringankan beban," katanya.
Menurut Alias bantuan jangka panjang pula dapat membantu masyarakat Orang Asli terutama golongan muda, keluar daripada kepompong kemiskinan.
#RMKe-12 #Orang Asli #kemiskinan #taraf hidup
;