Suara rakyat mampu desak BN dan PR duduk semeja

Astro Awani
April 6, 2014 02:58 MYT
Suara rakyat mampu menjadi kuasa pendesak untuk Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat duduk semeja membincangkan kerjasama politik.
Pengerusi Akademi Belia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu dapat direalisasikan sekiranya rakyat berterusan meminta agar konsesus nasional diadakan.
Menurut Saifuddin, idea pengukuhan nasional tidak hanya bergantung kepada pemimpin politik sahaja.
"Kalau rakyat meminta, ada masanya orang politik kena dengar juga. Jadi suara-suara rakyat itu kalau hari-hari orang bercakap tentang kerjasama antara semua pihak dalam dunia politik, saya fikir ia akan sampai juga," ujarnya.
Tambahnya, terdapat kajian yang menunjukkan rakyat mahukan kerjasama BN dan PR terutamanya dalam isu-isu asas.
Pakatan Rakyat sebelum ini beberapa kali meminta Barisan Nasional mengadakan perbincangan dengan mereka termasuk isu agama dan perkauman di negara ini.
Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak turut bersetuju dengan permintaan mereka dan melantik menteri dalam negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengantara bagi merealisasikan perkara itu.
#Akademi Belia #Barisan Nasional #BN #konsensus nasional #Pakatan Rakyat #PR #Saifuddin Abdullah