Suara Rakyat: Kerap disaman, tolong mudahkan lesen peniagaan di Taman Medan - Peniaga
Fareez Azman
Ogos 8, 2023 19:09 MYT
Ogos 8, 2023 19:09 MYT
'KAMI sudah penat disaman, mahu (urusan mendapatkan) lesen perniagaan dipermudahkan', itu luahan sesetengah peniaga di Taman Medan, Petaling Jaya yang ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Bagi mereka, nasib peniaga perlu dibela pemimpin yang akan diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos depan.
Tapak penjaja tidak strategik
Kesulitan yang dialami golongan peniaga kecil itu dikongsi oleh Khalid Ammay Rajab, 28, yang memberitahu bahawa kawasan penjaja yang dikhaskan oleh pihak berkuasa tempatan disifatkan tidak strategik.
Keannya dapat dirasai peniaga apabila pengunjung semakin berkurangan ketika mereka berpindah ke lokasi yang ditetapkan itu.
"Kita ada petak pasar malam, ada beberapa hari sambutan kurang. (Mungkin tempat) tak strategik, saya pun tak tahu. Salah satu faktor di situ adalah (perniagaan) pasar malam berterusan menjadi empat hari, jadi pelanggan semakin kurang.
"Ada hari hasil jualan okay. (Apabila) kita pindah masuk pasar malam, (hasil jualan) jadi berkurang," keluhnya.
Kelangsungan hidup
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, rata-rata peniaga memilih untuk berniaga di kaki lima demi mencari rezeki dan kelangsungan hidup meskipun berdepan risiko untuk disaman.
Bagi peniaga nasi lemak, Zulfadhli Hamizan Ishak, 29, besar harapan peniaga di kawasan itu agar mereka dipermudahkan dalam urusan permohonan lesen.
Ujarnya, beliau pernah memohon lesen penjaja, namun ditolak.
"Kalau boleh nak ada lesen. Kita penjaja nak cari rezeki mesti nak ada lesen. Kalau langgar je kena saman. Memang kita boleh bayar, tapi kita berniaga macam tak seronok.
"Kita meniaga makanan bagi orang makan, jadi nak jalan yang kita rasa seronok - bila penguat kuasa datang tiba-tiba buat rondaan, kita ada lesen," katanya.
Tapi realiti sekarang ini tidak sebegitu. Menurutnya, setiap kali disaman, harga yang perlu dibayar peniaga adalah sejumlah RM250.
Sampai bila?
Bagi Muhamad Fazid Mazin, 31, peniaga di Jalan PJS 2 itu mahukan suara mereka diangkat oleh pemimpin yang akan dipilih kelak.
"Nak dapatkan lesen agak payah. Kita faham meniaga tepi kaki lima tak akan dapat lesen.
"Dulu mereka nak bagi lesen, cuma tempat yang disediakan dulu meniaga pun jualan kurang orang, sebab (terletak) di laluan masuk dan keluar (tapak pasar malam) yang sama.
"Lama-lama peniaga pun tarik diri... semua meniaga balik kat kaki lima," katanya.
Semua itu adalah antara keluhan rakyat bawahan yang mendambakan pembaharuan daripada pemimpin yang akan diberi mandat pada 12 Ogos depan.
Bukan kemewahan yang mereka minta, namun pembelaan sewajarnya buat semua golongan terjejas, agar kehidupan mereka dapat diteruskan dalam situasi ekonomi yang kian mendesak ketika ini.
N.33 Taman Medan bakal menyaksikan 61,959 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Selangor kali ini.