Suara rakyat: 'Jangan percaya maklumat tidak tepat, benarkanlah anak divaksinasi'
Astro Awani
September 23, 2021 20:22 MYT
September 23, 2021 20:22 MYT
MELAKA: Sebahagian remaja menganggap tindakan segelintir masyarakat tidak membenarkan anak-anak menerima vaksinasi sebagai menggadai masa depan mereka.
Bersyukur ibu bapa sendiri tidak bersikap demikian, golongan remaja ditemui Astro AWANI, menyifatkan ibu bapa yang terbabit mementingkan diri sendiri kerana terpengaruh dengan maklumat tidak tepat golongan antivaksin.
Mereka berpendapat, tindakan sedemikian akan membahayakan masyarakat terutama pelajar lain dan guru-guru di sekolah.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Melaka, Nurin Nadia Nazri, 16, berkata tindakan ibu bapa terbabit seolah-olah tidak meletakkan keutamaan terhadap kesihatan serta keselamatan anak.
"Kalau ibu bapa sayangkan anak-anak, mereka perlu beri kebenaran vaksin kerana kebaikan vaksin sudah diakui pakar kesihatan yang membuat kajian mendalam.
"Jadi, kalau mereka mahu anak-anak terlindung ketika berada di sekolah, bersama kawan-kawan dan sebagainya, mereka perlu benarkan anak-anak divaksinasi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
COVID-19 | Kes positif membabitkan remaja meningkat
Menurut pelajar Sekolah Menengah Seni Kuala Lumpur, Muhammad Haikal Suhaimi, 17, dia kecewa jika ada rakan-rakannya yang tidak diberi kebenaran vaksinasi oleh ibu bapa mereka.
"Ibu ayah yang tak bagi anak-anak vaksin... antivaksin itu tak patut buat seperti itu sebab ini membabitkan kesihatan kita atau anak-anak mereka dan orang lain.
"Tidak perlu terikut-ikut kata orang (antivaksin) yang kita tidak tahu latar belakang mereka. Kita ikutlah pada diri sendiri, kata pakar... untuk jaga kesihatan, apapun kita perlu utamakan kesihatan," katanya.
Bagi Muhammad Azirin Nazaruddin, 17, ibu bapa perlu menanam semangat ikhtiar kepada anak-anak kerana vaksin itu adalah usaha untuk melindungi diri daripada COVID-19.
"Kita perlu berusaha atau ikhtiar. Kajian menunjukkan vaksin terbukti melindungi seseorang daripada COVID-19 atan mengurangkan tahap simptom jika dijangkiti.
"Jadi kalau tidak cucuk vaksin, kalau dijangkiti COVID-19 kesannya teruk. Benarkanlah anak-anak divaksinasi sebagai usaha mencegah," katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir, Akmal Ahmad Nazri, 17, meminta ibu bapa berfikir sedalam-dalamnya jika melarang anak-anak mereka menerima vaksin.
"Meskipun kerajaan tidak memaksa ibu bapa dan anak-anak menerima vaksin namun mereka perlu berfikiran rasional untuk membuat keputusan.
"Jangan percaya sangat maklumat-maklumat tidak benar mengenai vaksin di media sosial, perlu fikir dengan mendalam demi masa depan mereka," katanya.