Suara rakyat boleh pastikan rekonsilasi nasional - Saifuddin

Hakim Rahman
April 5, 2014 13:42 MYT
Pengerusi Akademi Belia Datuk Saifuddin Abdullah
Suara rakyat mampu menjadi kuasa pendesak untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) duduk semeja membincangkan kerjasama politik.
Pengerusi Akademi Belia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sekiranya rakyat berterusan meminta agar rekonsilasi nasional diadakan, ia akan berlaku.
Kata Saifuddin idea rekonsiliasi nasional tidak hanya bergantung kepada pemimpin politik sahaja.
“Kalau rakyat berterusan meminta (berbincangan rekonsilasi) ada masanya ahli politik perlu mendengar dan ia akhirnya akan menjadi kenyataan.”
“Kajian beberapa pihak seperti Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan Merdeka Center menunjukkan rakyat mahukan perbincangan politik BN dan Pakatan berlaku.”
Tambah Saifuddin ada beberapa perkara dan bahagian yang berlaku tidak melibatkan politik contohnya alam sekitar, hak asasi manusia, kepentingan pengguna dan sebagainya.
Saifuddin berkata demikian ketika mengadakan perbincangan meja bulat bersama Alumni Kepimpinan Pelajar Malaysia di luar negara pada Sabtu.
PR sebelum ini beberapa kali meminta BN mengadakan perbincangan dengan mereka termasuk isu agama dan perkauman di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiaannya bersetuju dengan melantik Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengantara bagi merealisasikan perbincangan tersebut.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan membatalkan perbincangan itu sebelum penamaan calon Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negari (DUN) Kajang.
#Anwar Ibrahim #Saifuddin Abdullah