Suara anak muda penting dalam pembangunan negara - UKEC

Eton Khir
Ogos 24, 2021 09:13 MYT
YEE FOOK: Generasi muda mempunyai semangat idealisme yang sangat penting dalam pembangunan negara, terutama dalam zaman sekarang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penglibatan golongan belia dalam pembangunan negara dapat memacu kemajuan di masa hadapan dan mengelakkan negara daripada ketinggalan dalam arus kemodenan.
Menurut Pengarah Strategi Majlis Perwakilan Pelajar United Kingdom and Eire (UKEC), Chin Yee Fook, golongan belia mempunyai idealisme yang sangat berguna kepada negara terutama dalam era dunia tanpa sempadan.
"Generasi muda mempunyai semangat idealisme yang sangat penting dalam pembangunan negara, terutama dalam zaman sekarang.
"Mereka didedahkan dengan idea lebih progresif, melalui pendidikan internet di dalam dan luar negara.
"Golongan ini membawa perhatian orang ramai terhadap isu-isu unik seperti perubahan iklim, kesaksamaan jantina atau kaum, dan hak kemanusiaan agar isu ini dapat dibentangkan dan diatasi di peringkat nasional," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Tambah Yee Fook, seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri pada Ahad, kerajaan ujarnya perlu mengambil perhatian pada setiap cadangan daripada golongan belia.
"Golongan belia juga banyak didedahkan kepada trend masa depan dari segi teknologi, ataupun penemuan penyelidikan terkini bagi mengelakkan negara kita ketinggalan zaman.
"Ia sangat penting untuk kita berikan perhatian terhadap cadangan-cadangan anak muda ini agar Malaysia jadi Malaysia lebih maju pada masa hadapan," katanya lagi.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya memaklumkan bahawa suara anak muda akan didengari dan diberikan tumpuan dalam Agenda Pemulihan Negara.
Malah Ismail turut mengharapkan agar anak muda bersama kerajaan dalam menjayakan agenda besar pemulihan negara.
#UKEC #ketinggalan zaman #penglibatan belia #pembangunan negara #Chin Yee Fook
;