Suara Anak Madani platform bincangkan suara rakyat
Astro Awani
Disember 1, 2023 22:56 MYT
Disember 1, 2023 22:56 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan suara-suara rakyat dapat diusul dan dibincangkan bersama, Pejabat Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri telah melancarkan program Suara Anak Madani.
Program bual bicara Suara Anak Madani ini akan membincangkan isu-isu semasa bersama tetamu-tetamu jemputan yang berlatarbelakangkan dunia politik dan pentadbiran kerajaan.
"Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bertindak sebagai moderator bersama seorang lagi moderator.
"Tetamu-tetamu jemputan akan menyumbang pendapat dan pandangan masing-masing mengenai topik-topik yang bincangkan.
"Suara Anak Madani merupakan program yang dapat merapatkan jurang dalam perbincangan isu politik semasa dengan gaya lebih santai serta bahasa yang mudah difahami," kata kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Episod pertama bertajuk, Apa cerita setahun kerajaan Perpaduan Madani? menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi fadzil dan Menteri Udang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman.
Ia akan ditayangkan di platform YouTube Suara Anak Madani pada 7 Disember nanti bersempena 1 tahun kerajaan Madani.