Suara ahli politik 'berbisa' boleh gugat perpaduan jika bertindak melulu - Penganalisis
Khalis Khadir
September 18, 2024 19:33 MYT
September 18, 2024 19:33 MYT
KUALA LUMPUR: Perpaduan negara akan terus harmoni sekiranya tiada pihak yang menyentuh perkara sensitif terutama melibatkan isu kaum dan agama.
Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Profesor Datuk Sivamurugan Pandian berpendapat, pemimpin politik menjadi watak utama dalam memastikan negara kekal aman kerana suara mereka cukup berpengaruh.
“Walaupun parti-parti politik kita berdasarkan garis etnik dan agama, itu tidak harus menjadi penghalang untuk meningkatkan nilai persefahaman antara satu sama lain walaupun barangkali kita berbeza fahaman atau ideologi politik,” katanya ketika ditemu bual dalam program Berita Terkini Kita pada Rabu.
Jelasnya, tiada sebarang alasan untuk menidakkan usaha menanam nilai kebersamaan dalam masyarakat kerana semua hak yang menjadi pertikaian telah diselesaikan menerusi Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah, isu picisan sedemikian tidak wajar dibangkitkan kerana tujuan lebih besar buat masa ini adalah untuk membina warganegara yang fasih berbahasa Melayu dan melahirkan generasi beradab.
Rentetan itu, beliau menasihatkan kepada tokoh politik yang menjadi suara penggubal dasar untuk bertindak secara rasional, bukan leka dengan bermain politik perkauman.
“Pemimpin harus jadi teladan, bagi saya pemimpin harus bersifat budiman dan tinggi akal budinya. Kesemua itu boleh diteladani dan jadi contoh oleh generasi hari ini dan akan datang.
“Bagi saya pemimpin harus merakyatkan kepimpinan, harus memanusiakan perpaduan walaupun berbeza pandangan apa sahaja yang mereka bawa tetapi dalam peringkat nasional mereka bukan harus boleh memimpin tetapi berjiwa besar untuk menerajui negara demi kepentingan bersama,” katanya.