Suap RM200 kepada polis, pemandu van kilang didenda RM10,000 dan 10 hari penjara

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 18, 2023 14:50 MYT
Tertuduh, M Kalaithasan (kanan) didenda RM10,000 dan 10 hari penjara oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini kerana memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis sebagai dorongan untuk itu tidak menahan dan menyamannya.
BUTTERWORTH: Padah memberi suapan RM200 kepada seorang anggota polis, seorang pemandu van kilang didenda RM10,000 dan 10 hari penjara oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini.
Tertuduh, M Kalaithasan, 53, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Kalaithasan didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal dua tahun lalu.
Tindakan tertuduh adalah sebagai dorongan untuk anggota polis terbabit tidak menahan dan menyamannya atas kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2021 iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Lorong Perusahaan 4 berhadapan sebuah kilang di Bukit Tengah, sekitar pukul 5.10 petang, pada 28 Jun 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rosman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#suapan RM200 #rasuah polis #pemandu van kilang #Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth
;