Suami YouTuber masakan terkenal mengaku tidak bersalah miliki senjata bahaya

Abd Razak Mohd Ali
Julai 24, 2020 02:31 MYT
Sugu (menutup muka) dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai. - Astro AWANI
Suami YouTuber masakan terkenal yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata berbahaya di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada Selasa lalu.
Tertuduh, M. Sugu, 29 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir, di sini, hari ini.
Menurut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukur 66 sentimeter (26 inci) bertulis 'Tiger' di parkir HRPB kira-kira jam 6 petang, 21 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta disebat.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan tetapi peguam Mahinderjit Singh memohon jaminan kerana ia merupakan kes keganasan rumah tangga.
BACA: Suami YouTuber masakan terkenal direman tiga hari
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Isterinya, M. Pavithra, 28 tahun, yang turut berada di mahkamah, bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.
BACA: Pasangan YouTuber mahu berehat sementara, tumpu masalah peribadi
#bahasa Tamil #Hospital Raja Permaisuri Bainun #keganasan rumah tangga #Mahkamah Sesyen #masakan #parkir #parkir hospital #Pavithra #sabit #senjata #Senjata Berbahaya #suami #Sugu #YouTube #YouTuber