Suami tumbuk, pukul isteri gara-gara cemburu mengaku tidak bersalah
Raffi Bachik
Januari 19, 2018 15:29 MYT
Januari 19, 2018 15:29 MYT
Seorang bapa kepada tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan menumbuk muka dan memukul bahagian kepala isterinya Ahad lalu.
Tertuduh Muhammad Irwan Johson Abdullah, 48 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin.
Muhammad Irwan didakwa melakukan perkara itu terhadap Suzanah Fapilaya kira-kira jam 4 petang di rumahnya di Jalan Wakaf Bertam Ulu, Melaka pada 14 Januari.
Tertuduh, yang merupakan seorang pengganggur, didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendawa Raya, Muhammad Azri Zakaria, tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira mangsa ialah isterinya dan sekiranya dibebaskan dikhuatiri tertuduh akan mengganggu mangsa.
Beliau turut menyatakan ketidakhadiran isteri serta anak-anak tertuduh yang berusia antara lima hingga 15 tahun ke mahkamah hari ini, menunjukkan mereka masih trauma dengan insiden tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dibenarkan diikat jamin dengan alasan tindakannya itu didorong oleh perasaan marah disebabkan perbuatan isterinya yang didakwa melakukan hubungan sulit.
Selain itu, perbuatan itu baharu kali pertama dilakukannya dan berharap dapat segera pulang ke rumah untuk membetulkan keadaan.
Norina bagaimanapun mengekalkan cadangan Azri dengan tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 2 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.