Suami 'tangkap' isteri berkhalwat dengan lelaki bujang
Sinar Harian
Mac 18, 2025 12:20 MYT
Mac 18, 2025 12:20 MYT
Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki lain. - Foto PADK
KULIM: Hancur hati seorang suami melihat isterinya tergamak melakukan perbuatan keji bersama lelaki lain di sebuah bilik hotel di Lunas di sini pada Selasa.
Pasangan suami isteri itu dikatakan menetap di Pahang dan isterinya datang ke Kedah dengan alasan untuk bertemu sepupu.
Bagaimanapun, lelaki terbabit mengesyaki sesuatu mencurigakan setelah mengesan keberadaan isterinya melalui 'trace location' dan mendapati wanita itu tidak pulang ke rumah sepupu selepas dikatakan mahu ke dobi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim (PADK) Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, suami wanita terbabit berusia 30-an berjaya mengesan keberadaan isterinya di hotel berkenaan sebelum menghubungi penguat kuasa PADK dalam kejadian jam 3.40 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, wanita itu bersekedudukan bersama seorang lelaki yang masih bujang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kulim Hi Tech.
"Wanita itu berusia 33 tahun bekerja di kedai makan di Pahang dan mempunyai tiga anak, suaminya datang dari Pahang 'trace location' isteri dan buat tangkapan kemudian hubungi PADK.
"Difahamkan, wanita dan lelaki itu mengenali antara satu sama lain tujuh tahun lalu sebelum terputus hubungan selepas berkahwin, namun baru-baru ini berhubung kembali setelah diberikan nombor telefon oleh sepupunya," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat. - Sinar Harian