Suami saya kat dalam tu! Saya tengah tunggu dia - isteri mangsa tanah runtuh
Hilal Azmi
Oktober 22, 2017 12:07 MYT
Oktober 22, 2017 12:07 MYT
Kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah amat meresahkan penduduk Pulau Pinang.
Mana tidaknya, kejadian kali ini dianggap paling buruk dalam sejarah Pulau Mutiara kerana melibatkan 11 mangsa yang tertimbus di mana setakat jam 12 tengah hari Ahad, sudah ada tujuh mangsa yang disahkan maut.
Paling terkesan, sudah semestinya ahli keluarga mangsa yang setia menunggu hasil operasi mencari dan menyelamat yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Noraini Rosanti Abdullah, 39 tahun, sedang hamil dua bulan hasil perkahwinannya bersama Ali Raza Mohd Jamil, warga Pakistan yang merupakan antara mangsa yang masih tertimbus.
Ketika ditemui Astro AWANI, wajahnya sugul, tudung tidak terurus dengan hidung kemerahan mundar-mandir di depan tapak projek berkenaan sambil membaca sesuatu pada telefon bimbit.
"Suami saya kat dalam tu! Saya tengah tunggu dia," katanya separa menjerit ketika ditanya kumpulan orang ramai yang ada di sana.
Bagi Noraini, sepanjang hari kejadian, tiada perubahan sikap mahupun sebarang petanda ditunjukkan suaminya.
"Tadi dia pergi kerja, takda apa-apa tanda ditunjukkan.
"Kalau saya tau petanda yang kurang baik, saya takkan bagi dia pergi kerja," katanya yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya 27 Jun lalu.
Jelas Noraini, sepanjang perkahwinannya, Ali merupakan suami yang sangat penyayang sehinggakan tidak membenarkannya untuk bekerja sejak dua bulan lalu.
"Saya sebelum ini kerja kantin, tapi sekarang ni saya suri rumah saja.
"Saya kat sini sebab nak tunggu suami saya. Saya dapat maklumat jam 9 pagi tadi, terus saya datang sini.
"Saya duduk sini, duduk kat tempat mayat tu. Tadi polis suruh saya tengok dua mayat yang awal tu. Itu bukan suami saya sebab suami saya tinggi orangnya.
"Saya duduk sini dari pagi sampai la sekarang," katanya separa sebak.
"Tadi masa saya tunggu situ, polis ada bagi saya air mineral. Saya cuba minum, tapi saya muntah. Jadi, saya tak mau makan atau minum apa-apa sekarang ni," katanya lagi.
Kami cuba mempelawa Noraini untuk makan malam bersama, memandangkan jam sudah menunjukkan jam 9:30 malam.
"Biarlah saya kat sini, tunggu suami saya. Saya percaya, dia masih hidup," katanya.
#Ali Raza Mohd Jamil
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#Noraini Rosanti Abdullah
#operasi mencari dan menyelamat
#Pakistan
#tanah runtuh