Suami reda pemergian isteri, sempat buat panggilan video sebelum lemas
Bernama
Januari 22, 2025 17:31 MYT
Januari 22, 2025 17:31 MYT
KOTA TINGGI: Wanita yang lemas bersama anak saudaranya di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai di sini semalam, sempat membuat panggilan video bersama suaminya sebelum tragedi.
Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata dia bersama ahli keluarga isterinya Siti Fatimah Jaafar, 33, berserta tiga anak lelaki mereka bercuti di pantai berkenaan sejak Isnin dan dijadualkan pulang hari ini.
Bagaimanapun, dia yang mempunyai urusan kerja pulang sebentar ke rumah mereka di Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru.
"Isteri saya buat panggilan video kira-kira 5 petang, biasa dia akan telefon sahaja tetapi kali ini dia buat panggilan video dan wajahnya ketika itu sungguh cantik dan berseri.
" ... saya sempat tanya keadaan anak-anak di sana dan mengusiknya suruh dia cakap 'I love you' kepada saya tetapi dia malu sebelum menamatkan panggilan video.
"Tetapi tidak lama selepas itu, saya terima panggilan daripada saudara di sana katanya ada kejadian lemas membabitkan isteri dan beberapa lagi saudara, saya terus bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Siti Fatimah lemas bersama anak saudaranya Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, manakala tiga lagi kanak-kanak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki yang juga anak keduanya, Muhammad Daniel Rifqie, 10, terselamat.
Sementara itu, Abu Mansur berkata difahamkan isterinya cuba menyelamatkan anaknya dan dua lagi kanak-kanak terbabit sebelum lemas.
"... memang banyak perubahan sejak dua tiga minggu lepas, setiap kali lepas solat dia akan nangis akan cium peluk anak-anak. Dia juga ajar anak pertama dan keduanya untuk jaga adik bongsu mereka yang juga autistik.
"Dia juga pesan kepada saya mulai 2025 menyuruh saya solat berjemaah di masjid. Kami sekeluarga memang biasa solat berjemaah di rumah. Mungkin dia hendak suruh saya terima yang selepas ini saya sudah tidak lagi dapat solat berjemaah dengannya," katanya.
Jenazah isteri dan anak saudaranya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram manakala anak keduanya sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
-- BERNAMA