Suami orang dicekup khalwat dengan wanita bujang

Astro Awani
April 17, 2021 10:52 MYT
Pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Padang Serai, dalam operasi pada jam 1.54 pagi Sabtu. - Foto ihsan JHEAK
KULIM: Seorang lelaki bergelar suami orang ditahan anggota Pejabat Agama Daerah Kulim kerana disyaki melakukan perbuatan khalwat bersama seorang wanita bujang.
Pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Padang Serai, di sini dalam satu serbuan pada jam 1.54 pagi Sabtu.
Pegawai Agama Daerah Kulim, Syeikh Haizan Hamzah memaklumkan pasangan tersebut gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan ketika itu hanya mereka berdua berada dalam rumah berkenaan.
Jelasnya siasatan lanjut mendapati lelaki yang berasal dari Perak itu masih suami orang, manakala wanita itu berasal dari Merbok, Sungai Petani.
"Ketika ditanya, lelaki tersebut menyatakan dia hanya menumpang tidur di rumah wanita berkenaan kerana mempunyai urusan di Taiping, Perak.
"Tangkapan ini dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat awam. Pasangan terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk dibuat laporan tangkapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
#khalwat #ditahan #lelaki #suami orang #wanita #bujang
;