Suami maut, telekung isteri dipercayai tersangkut pada tayar motosikal

Sinar Harian
November 3, 2023 14:20 MYT
Lokasi kejadian kemalangan. Gambar kecil: Keadaan motosikal mangsa selepas terbabit dengan kemalangan. - Foto/ PDRM
KUALA PILAH: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan selepas telekung isteri mangsa dipercayai tersangkut pada tayar dalam kejadian di Jalan Juasseh Terusan Seberang di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian pada jam kira-kira 7 malam itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang lelaki berusia 64 tahun dan dibonceng isterinya berusia 60 tahun.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kedua-duanya dari arah rumah menghala ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib.
"Apabila sampai di lokasi, telekung pembonceng dipercayai termasuk di bahagian tayar belakang lalu motosikal tersebut hilang kawalan sebelum terjatuh.
"Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng dibawa ke Hospital Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, bagaimanapun pada jam 3.53 pagi tadi pihaknya dimaklumkan oleh Unit Forensik HTAN Kuala Pilah, penunggang motosikal itumeninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah.
"Pembonceng mengalami kecederaan di bahagian muka, bibir berjahit dan patah beberapa batang gigi," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. - Sinar Harian
#kemalangan maut #telekung solat #telekung tersangkut tayar #Kuala Pilah
;