Suami maut, rumah ditimpa runtuhan batu
Sinar Harian
Jun 21, 2021 11:37 MYT
Jun 21, 2021 11:37 MYT
RANAU: Seorang lelaki maut selepas ditimpa runtuhan batu yang berlaku di bahagian dapur rumahnya dalam kejadian di Kampung Pinousuk, Kundasang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Junaidi Gangka, 55, dikatakan sedang berehat bersama isterinya di dapur rumah berkenaan.
Isteri mangsa sempat melarikan diri bersama anak-anak mereka, manakala mangsa pula terperangkap dalam rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan beberapa pekebun berhampiran lokasi kejadian.
"Mangsa terus dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital.
"Dalam kejadian itu, isteri mangsa dan dua anak mereka berusia enam tahun dan 18 tahun yang turut berada di dalam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
"Polis sudah melawat lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan memberi amaran kemungkinan kejadian runtuhan mungkin berulang.
"Penduduk dinasihatkan supaya berwaspada disebabkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini," katanya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Suami maut, rumah ditimpa runtuhan batu