Suami maut jerut leher sendiri selepas dipercayai bunuh isteri
Bernama
Julai 3, 2015 07:57 MYT
Julai 3, 2015 07:57 MYT
Sepasang suami isteri maut di kediaman mereka di Desa Senadin Lorong 2D di sini dipercayai membabitkan kes bunuh dan bunuh diri.
Pemangku Ketua Polis Miri, Supt Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan kes itu berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati Wenceslaus Taikim Pancras, 50, telah membunuh isterinya Sirena Puyang Anyie, 39, dengan menghentak kepala mangsa di lantai.
"Suaminya kemudian membunuh diri dengan menjerut leher sendiri menggunakan kabel. Motif pembunuhan masih disiasat," katanya kepada Bernama di sini Jumaat malam.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada pagi Jumaat selepas Wenceslaus menghantar dua anaknya ke sekolah.
"Tiada kesan pergelutan dan barang berharga juga tidak hilang," katanya.
Stanley berkata Wenceslaus yang bekerja di sebuah syarikat menjual kereta dan Sirena yang bekerja di sebuah syarikat swasta meninggalkan seorang anak lelaki berusia 13 tahun dan seorang anak perempuan berusia 11 tahun.