Suami maut, isteri parah nahas di Lipis
Norfarhiza Mohd Atar
Mac 26, 2023 14:22 MYT
Mac 26, 2023 14:22 MYT
LIPIS: Seorang lelaki maut, manakala isterinya parah setelah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda, pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira - kira jam 8.00 pagi itu berlaku di Kilometer 21, Jalan Lipis- Merapoh berhampiran simpang pekan Padang Tengku di sini telah meragut nyawa Abdul Manaf Zakaria, 48, manakala isterinya, Noraida Mustapha, 44, patah tangan kanan dan patah paha.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pasangan berkenaan yang menaiki motosikal jenis Honda Wave Alpha dalam perjalanan dari Kampung Berchang menghala ke pekan Padang Tengku untuk urusan harian.
"Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal berkenaan dipercayai hendak masuk ke simpang kanan dan telah dilanggar oleh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pasukan perubatan.
"Manakala pembonceng mengalami kecederaan telah dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda berusia 83 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, siasatan awal juga mendapati punca kemalangan adalah dari kecuaian penunggang motosikal memasuki simpang.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan di lokasi kemalangan adalah di simpang tiga, menurun bukit, keadaan jalan kering dan cuaca baik," katanya lagi.