Suami maut, isteri parah kereta bertembung pikap di Jln Papar-Beaufort

Bernama
Februari 21, 2015 07:31 MYT
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Chong Tseng Kong, 59, manakala isterinya Chong Mui Ken, 56, patah tulang rusuk kanan dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth - Fail Foto
Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 28 Jalan Papar-Beaufort pada Sabtu.
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Chong Tseng Kong, 59, manakala isterinya Chong Mui Ken, 56, patah tulang rusuk kanan dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Ketua Polis Daerah Papar, DSP Geaorge Abd Rahman ketika dihubungi berkata semasa kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa dan isterinya dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu ke Beaufort.
Apabila tiba di lokasi kejadian sebuah pikap yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan selepas melanggar bahagian kanan belakang sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah yang sama apabila kereta itu tiba-tiba menukar laluan ke kanan jalan raya tiga lorong itu.
Katanya pemandu pikap berkenaan cuma mengalami kecederaan ringan manakala pemandu dan penumpang Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Chong Mui Ken #Chong Tseng Kong #Jalan Papar-Beaufort #kemalangan #kereta Viva
;