Suami maut, isteri parah, kenderaan terbabas jatuh dari jejambat

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 21, 2020 11:32 MYT
Kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri dan melanggar tembok jalan lalu terjatuh ke bawah jejambat KKIA. - Foto PDRM
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh dari jejambat di Jalan Kepayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun tersangkut pada tembok jejambat terbabit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, isteri mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai terjatuh bersama kereta daripada jejambat dan mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Habibi Majinji yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu dan mendapati ia hanya membabitkan sebuah kereta Proton Saga.
"Kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri dan melanggar tembok jalan lalu terjatuh ke bawah jejambat KKIA.
"Mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala isterinya dibawa menaiki ambulans ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2)," katanya.
Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#terbabas #jatuh #jejambat #maut #kemalangan #KKIA #Kota Kinabalu #suami isteri
;